“SELAMAT pagi,
Mama.” Ucap Amani lalu mencium pipi ibunya yang sedang menyediakan sarapan di
meja makan.
Puan Latifah
tersenyum bahagia. Amani memang seorang anak yang solehah baginya.
Alhamdulillah, hasil didikan dia dan suami, Amani membesar dengan peribadi yang
elok.
“Duduklah,
Ani.”
Amani
melabuhkan punggungnya.
“Awalnya
mama masak. Tak sempat Ani nak tolong hari ini.”
“Tak
payahlah. Semalam Ani balik lewat kan. Kesian mama tengok.” Lembut suara Puan
Latifah melayan anaknya.
Nasi goreng
disenduk ke dalam pinggan Amani. Dengan muka penuh berselera, Amani menikmati
sarapannya.
“Hai, Ani.
Berselera papa tengok.” Tegur Datuk Johan dari belakang lalu duduk di sebelah
anak kesayangannya.
“Papa.. Good
morning.” Ucap Amani dengan manja lalu meneruskan suapannya. Nasi goreng
mamanya memang the best.
Datuk Johan
menikmati masakan isterinya itu. Sudah hampir 30 tahun usia perkahwinan mereka
namun bibit-bibit kemesraan masih jelas kelihatan. Jarang Amani lihat mereka
bertengkar kerana bertolak ansur adalah rahsianya. Masing-masing merendahkan
ego dan berbincang dengan terbuka untuk menyelesaikan masalah.
“Papa tak
pergi office ke hari ni? Pakai t-shirt biasa aje Ani tengok.” Soal Amani.
“Papa ambil
cuti hari ni. Nak teman mama kat rumah.” Datuk Johan bermanis mulut.
“Apalah
sangat yang boleh kita buat kat rumah ni bang. Nanti abang bosan pula duduk
rumah dengan saya.” Nada Puan Latifah seakan merajuk. Amani menghentikan
suapannya. Papanya dikerling.
“Takkan lah
saya bosan dengan awak, sayang. Saya ambil cuti nak luangkan masa dengan
awaklah.” Datuk Johan cuba bermanis lagi.
Puan Latifah
membuat muka toya. Selesai menuang teh untuk suaminya, dia berundur ke dapur.
Amani terus mendekatkan dirinya.
“Apa papa
dah buat?” Tanya Amani dengan perlahan sambil memandang ke dapur.
Datuk Johan
tersenyum manis. Teh yang dituang tadi dihirup dengan perlahan.
“Papa ada
janji dengan mama semalam untuk keluar bersama. Tapi, papa batalkan sebab ada
hal penting di office.” Terang Datuk
Johan.
“Memanglah
mama marah. Papa mungkir janji.” Amani memang dah tak ada istilah
berlapis-lapis. Terus terang saja apabila bercakap dengan papanya.
“Itu yang
papa cuba untuk betulkan. Mama mogok dingin dengan papa dari semalam lagi. Apa
yang patut papa buat ye Ani?” Soal Datuk Johan. Hanya anak daranya seorang
inilah yang boleh membantunya di saat ini.
Amani
berfikir seketika. Sudu yang berada dihujung jarinya digerakkan berkali-kali.
Datuk Johan pula mengharap idea bernas dari anak daranya ini.
“Papa ingat
apa yang selalu cairkan hati mama?” Soal Amani dengan senyuman.
“Bunga ros
merah.” Jawab Datuk Johan. Amani segera mengangkat kedua-dua keningnya dengan
wajah bangga. Datuk Johan menangkap maksud Amani lalu tersenyum.
Puan Latifah
menghampiri mereka dengan sepinggan buah epal. Terus Amani dan Datuk Johan
meneruskan suapan mereka. Pinggan buah itu diletakkan diatas meja lalu Puan
Latifah duduk di sebelah anaknya dengan wajah biasa.
“Sedap
sayang masak hari ini.” Datuk Johan cuba mencairkan hari isterinya dengan
pujian. Amani mengangkat ibu jarinya dengan senyuman.
“Habis tu,
selama ni saya masak tak sedaplah?”Puan Latifah memandang Datuk Johan dengan
ekor mata. Amani terus menepuk dahinya.
“Eh, bukan
macam tu. Selama ni sedap. Tapi, hari ni paling sedap.” Puan Latifah mencebik.
Datuk Johan cuba untuk menyentuh tangan isterinya namun ditempis.
“Malulah
dekat Ani.” Puan Latifah bernada keras. Datuk Johan tersenyum.
“Tak
payahlah mama dengan papa nak malu. Ani dah tengok semuanya dari kecil lagi.
Bukan setakat pegang tangan aje. Dah tua peganglah apa yang nak pegang.” Amani
cuba menceriakan situasi. Puan Latifah mengerling kearah Amani. Dicubitnya paha
anak dara bermulut laser ni. Terjerit Amani dibuatnya.
“Siapa cakap
kami dah tua? Luarannya sahaja tua, tapi dalam masih lagi muda. Ya kan sayang?”
Datuk Johan mencuba lagi.
Amani
membuat mimic nak muntah. Tergelak Datuk Johan dibuatnya. Puan Latifah pula
tersenyum. Amani membuat isyarat mata pada papanya. Hati mamanya sudah sejuk
sedikit. Cepatlah masuk ayat manis.
“Mama Ani
lah wanita yang paling cantik yang pernah papa jumpa. Takkan ada orang lain
boleh gantikan mama didalam hati papa. Sebab tu, mama sentiasa muda di hati
papa.”
Akhirnya
Puan Latifah mengalah. Hilai tawa jelas kedengaran dari bibir wanita itu. Datuk
Johan juga turut tertawa. Bahagia. Itulah yang Amani dapat rasakan dari kedua
insan yang menyayanginya dengan sepenuh hati.
Walaupun dia
sedar, kedua insan ini mungkin tiada talian darah dengan dirinya. Namun, dia
sangat menyayangi mereka. Sepanjang hidupnya, mereka adalah penjaga dan
penyejuk hatinya. Tanpa mereka, siapalah Amani sekarang ini.
Dia pernah
bertanyakan asa usulnya kepada Puan Latifah. Namun, dia tidak diberikan jawapan
tentang itu. Puan Latifah menangis tersedu-sedu saat dia menanyakan soalan itu.
Justeru, dia berjanji untuk tidak mengulangi soalan itu selamanya. Dia masih
ingat ketika dia pertama kali mendengar berita tentang ini.
Villa Indah
di Cameron Highland kepunyaan Datuk Johan riuh dengan kehadiran sanak saudara
yang bercuti bersama-sama pada musim cuti sekolah. Peperiksaan UPSR sudah pun
tamat. Oleh kerana itulah Datuk Johan mengajak semua ahli keluarga bercuti
bersama-sama. Amani yang berusia 8 tahun ketika itu sangat gembira dengan
aktiviti ini.
Semua keluarga berkumpul
bersama-sama. Dia boleh berjumpa dengan abang Mukhlis, abang Fariz dan juga
Farah. Dah lama rasanya mereka tak bermain bersama. Walaupun jarak usia antara
dia dan abang-abang sepupunya agak jauh berbeza tapi dia tetap merasa seperti
kawan. Farah pula cuma setahun tua darinya.
“Ani! Tangkap bola ini!” Laung
Mukhlis lalu membaling bola kepada Amani yang terkebil-kebil di dalam air kolam.
“Abang Fariz!! Janganlah macam tu.. Ani
tak pandai berenang lagilah.” Adu Amani sambil memeluk bola dengan kejap. Dia
membuat riak kasihan. Mengharapkan simpati dari Fariz lah tu.
“Kalau macam tu Ani bagi bola tu kat
abang dulu. Baru abang tak buat macam tu.” Ujar Fariz sambil tersenyum. Amani
makin memeluk bola itu dengan kejap.
“Mana boleh! Kalau Ani bagi bola ni
kat abang nanti Ani dengan abang Mukh kalah. Ani tak boleh buat macam tu.”
Mukhlis memberi isyarat supaya
membaling bola itu padanya. Dia ingin menjaringkan gol. Amani mengangguk
perlahan agar Fariz tidak menyedarinya. Terus sahaja bola itu dibaling dengan
kuat. Mukhlis menyambutnya dengan pantas lalu dibaling tepat kedalam gol.
“Gol!!” Jerit Amani kegembiraan lalu
melompat-lompat di dalam air bersama Mukhlis. Fariz membuat muka tak puas hati.
Kalah dengan pasukan Amani dan Mukhlis.
“Kau orang berdua, memanglah menang.
Aku seorang diri aje mana boleh.” Fariz cuba membuat alasan agar rasa malunya
berkurangan.
“Siapa suruh pasukan kau tu lari masa
tengah bermain. Kau jangan tak nak terima kekalahan ini pula.” Sindir Muhklis
lalu ketawa bersama Amani.
“Yelah.. abang Fariz ni jangan nak
buat alasan pula sebab dah kalah.” Amani pula menyindirnya. Gelakan mereka di
sambung lagi. Makin panaslah hati Fariz jadinya.
“Ini semua salah Farah. Kalau dia tak
pergi tandas lama macam ni, abang pasti takkan kalah punya.” Fariz membela
dirinya lagi. Tak puas hati sebab kalah.
Amani dan Mukhlis naik ke kerusi.
Fariz mengikut di belakang. Diambil tuala yang ada disitu lalu di dikeringkan
rambut mereka yang basah.
“Tapi Farah mana? Takkan pergi tandas
lambat macam ni. Dia pergi tandas ke pergi mana.” Soal Amani lalu duduk di
kerusi itu. Mukhlis menolongnya mengeringkan rambut dan badan.
Fariz mengangkat kedua bahunya tanda
tidak tahu. Rambutnya dikeringkan lagi.
“Abang pun tak tahu. Sakit perutlah
tu. Semalam kan dia makan bukan main banyak lagi. Mentang-mentang ada spaghetti
kesukaan dia, semua dia balun. Tak ingat dunia dah.” Cerita Fariz membuatkan
mereka semua tertawa riang.
Farah menghampiri mereka dengan wajah
yang mencuka. Semua mata memandangnya dengan serentak setelah menyedari
kehadirannya disitu. Tocang dua dikepalanya membuatkan wajah bulatnya kelihatan
lebih menonjol.
“Farah pergi mana tadi? Lama semacam
abang tengok pergi tandas. Tengok abang dah kalah. Ini semua salah Farah. Kalau
tak kita dah menang tahu tadi? Abang tak nak kalah dengan pasukan lembik tu.”
Marah Fariz dalam gurauan. Amani dan Mukhlis tersenyum bangga sebab dapat
kalahkan mereka.
Wajah Farah masih mencuka. Fariz
mengerutkan mukanya. Dipandang Mukhlis dan Amani untuk mendapatkan jawapan
kepada muka masam Farah. Mereka menggeleng serentak.
“Farah kenapa? Ada masalah ke?” tanya
Fariz dengan lembut.
Farah memandang Amani dengan mata
berkaca. Perasaan bersalah menyelubungi hatinya.
“Farah..Farah tak tahu nak cerita
macam mana. Nak cerita takut ada yang terluka, tak cerita rasa bersalah pula. Farah
tak tahu nak buat macam mana.” Ujar Farah dengan suara serak.
“Farah cerita ajelah. Jangan nak
pendam pula.” Arah Fariz. Amani menghampiri Fariz dan berdiri di sebelah
sepupunya itu.
“Kenapa? Ada apa yang tak kena ke
Farah? Muka kau nampak pucat.” Amani pula bersuara.
Farah menarik nafas dalam-dalam. Cuba
menenangkan hatinya yang berdebar.
“Sebenarnya masa Farah pergi tandas
tadi..Farah.. terdengar apa yang Mak Long dengan mama cakapkan. Mereka tengah
berborak pasal rahsia keluarga Pak Ngah.” Suara Farah terketar-ketar.
“Rahsia? Rahsia apa, Farah?” Tanya
Fariz.
“Sebenarnya..Ani adalah anak angkat
Pak Ngah dan Mak Ngah.”
Amani diam seribu bahasa. Wajahnya
pucat. Hatinya berdegup kencang. Matanya sudah tidak mampu untuk membendung air
hangat yang teringin untuk melimpah keluar. Mukhlis dan Fariz memandang Amani
dengan perasaan kasihan. Memang ini berita yang paling tidak disangka mereka.
“Ani..abang rasa..” belum pun Mukhlis
sempat menghabiskan ujarannya, Amani terus berlari dari situ dengan esakan.
Mereka semua terkejut lalu mengejar Amani yang berlari entah sampai ke mana
dengan lajunya. Dia terus menghilang apabila masuk ke dalam hutan dibelakang
Villa.
“Farah! Pergi cakap kat Mak Ngah yang
Amani hilang. Kita tak boleh lengah-lengah lagi.” Arah Fariz. Farah mengangguk
lalu berlari dengan pantas mendapatkan Puan Latifah yang sedang duduk
bersembang bersama-sama ibu bapanya di ruang tengah.
“Kenapa ni Farah?” tanya Datin Safiah
dengan nada risau. Farah masih tercungap-cungap kepenatan.
“Ani..Ani hilang kat dalam hutan.”
“Hah? Ani hilang?” kuat suara Puan
Latifah. Jantungnya hampir gugur mendengar berita itu.
Farah mengangguk laju.
“Dia lari
masuk ke dalam hutan lepas tu terus kami tak boleh nak kejar. Dia terus hilang.
Abang Fariz dengan abang Mukhlis tengah cari dia lagi.” Cerita Farah.
“Ya Allah,
apa yang terjadi sampai Ani lari masuk ke dalam hutan ni?” tanya Datin Safiah yang
sedang duduk disisi suaminya, Datuk Ismail di kerusi.
“Ani..dia..”
Farah takut untuk memberitahu perkara sebenarnya. Nanti pasti dia akan dimarahi
sebab beritahu Amani perkara sebenarnya. Bukan niat dia untuk membuatkan Amani
sampai hilang. Dia cuma tidak ingin rasa bersalah. Amani berhak mengetahuinya.
“Nantilah
kita cerita pula. Sekarang ni yang penting kita cari Amani dulu. Saya tak nak
apa-apa yang buruk berlaku pada anak saya. Ya Allah…selamatkan Amani.” Doa Puan
Latifah.
Datuk Johan yang baru selesai solat
menghampiri mereka semua. Keadaan di situ begitu tegang.
“Abang..” Puan Latifah menghampiri
suaminya dengan tangisan.
“Kenapa ni
Sayang?” risau Datuk Johan melihat wajah Puan Latifah yang tiba-tiba menangis.
“Ani, bang.
Ani dah hilang kat dalam hutan.”
“Astagfirullahal
azim. Kenapa sampai boleh jadi sampai macam ni? Kita tak boleh lengah-lengah
lagi. Cepat cari dia.” Arah Datuk Johan seraya semua orang pergi ke hutan yang
ditunjukkan Farah. Mereka semua menjerit-jerit memanggil nama Amani.
Puan Latifah menjerit sambil menangis
teresak-esak. Macam-macam fikiran buruk yang muncul difikirannya. Anaknya
dimakan binatang buaslah, diculik oranglah, apalah. Namun, Amani tetap tidak
menjawap. Hati mereka semua sudah berombak kencang setelah hampir 2 jam mencari
Amani namun masih tidak bertemu.
Mukhlis
menjerit-jerit memanggil Amani sambil menghampiri sebatang pokok besar. Dia
masih tidak berputus asa untuk mencari sepupunya itu. Mukhlis menyandar pada
pokok besar itu setelah tekaknya terasa kering kerana menjerit terlalu kuat
sejak dari tadi. Namun, dia terdengar sayup-sayup suara tangisan seseorang
disebalik pokok itu. Dia perlahan-lahan berjalan ke sebalik pokok itu. Ternyata
Amani sedang duduk disitu sambil menangis teresak-esak. Mukhlis menjerit memanggil
Puan Latifah dengan kuat.
Semua orang berlari kearah Mukhlis
dan Amani. Puan Latifah terus memeluk anak kesayangannya itu. Dikucup wajah
kecil itu bertalu-talu menghilangan perasaan takut yang menghuni dari tadi. Dia
menangis hiba.
“Ani tak
apa-apa kan? Kenapa Ani boleh sampai ke dalam hutan macam ni?” Soal Puan
Latifah dengan penuh resah. Diteliti satu persatu anggota tubuh Amani yang
masih kecil itu. Khuatir jika ada kecederaan pada anaknya ini. Datuk Johan
duduk disebelah Puan Latifah dengan wajah yang risau.
Amani masih
menangis teresak-esak.
“Ani…kenapa?
Apa yang buat Amani sampai menangis sampai macam ni sekali?” Tanya Datuk Johan
lembut.
“Papa..Mama.. Betul ke Ani ni bukan
anak papa dengan mama?” Tanya Amani dengan air mata yang masih setia menitis.
Puan Latifah
dan Datuk Johan tersentak. Mereka memandang satu sama lain. Amani memandang ibu
bapanya dengan penuh kesedihan.
“Ani..dengar
semua ni dari mana?” Soal Puan Latifah dengan nada sedih. Air matanya sudah
mengalir deras.
Farah
memandang Amani dengan perasaan sedih dan bimbang. Bukan niat dia untuk
membuatkan Amani terluka sebegini rupa.
“Mama, betul
ke?” Amani tidak mahu menjawab selagi tidak mendapat kepastian dari mamanya.
Datuk Johan
sudah menundukkan wajah dengan air mata yang sudah membasahi pipinya. Puan
Latifah menangis dengan hibanya. Dia tidak mahu mengaku Amani bukan anaknya.
Baginya, Amani adalah anaknya buat selama-lamanya.
“Mama..” Gesa Amani dengan tangisan
yang semakin kuat. Puan Latifah diam dalam tangisan.
Semua mata yang
ada di situ sudah menangis tersedu-sedu. Tidak sangka rahsia ini sudah
terbongkar.
Puan Latifah
mengangguk dengan perlahan. Amani pula semakin deras air matanya mengalir. Puan
Latifah memeluk Amani dengan erat sambil menangis teresak-esak.
“Ani akan
jadi anak mama selamanya, sayang. Ani jangan cakap yang Ani bukan anak kandung
mama lagi. Ani adalah anak kami selamanya. Takkan ada apa pun yang merubah
hakikat itu.” Sumpah Puan Latifah. Datuk Johan memeluk kedua-dua insan yang
dicintainya itu dengan linangan air mata.
“Papa tak nak dengar lagi Ani sebut
pasal ni. Kuburkan segala apa yang Ani dengar hari ini. Untuk papa dan mama, Ani
tak boleh ungkit lagi perkara ni. Sesiapa pun jangan ungkit perkara ni sampai
bila-bila. Ani anak papa dan mama. Takkan ada orang yang boleh gantikan tempat
Ani.” Pujuk Datuk Johan. Pelukan mereka dileraikan. Puan Latifah menyeka air
mata Amani dengan penuh kasih sayang.
“Ingat Ani, jangan
pernah ungkit lagi perkara ni. Mama dan papa tak nak dengar lagi hal ini
dibangkitkan. Ia sangat menyakitkan kita. Janji dengan mama ye, sayang? Janji?”
Puan Latifah menatap Amani dengan mata yang berkaca-kaca.
Amani
melihat kedalam mata mama dan papanya. Dia sangat menyayangi kedua-dua insan
yang sudah lama menjadi ibu bapanya ini. Dia mengangguk. Puan Latifah terus
memeluk tubuh kecil itu. Air matanya mengalir lagi.
“Ani!!”
Suara Puan Latifah menyentakkan Amani dari lamunan.
“Mengelamun
pula budak ni. Dah pukul berapa dah tu. Nanti lewat ke office.” Amani terus melihat jam tangannya. Ya Allah, dah lewat.
“Ani pergi
dulu.” Ujar Amani sambil kelam kabut mengambil beg galasnya lalu menyalam kedua
ibu bapanya itu. Senyuman manis dihadiahkan kepada mereka. Sebelum melangkah
keluar dari pintu, dia menoleh kearah ibu bapanya.
I love you both so much. Ucap Amani
didalam hati.
No comments:
Post a Comment