AMANI dah menjuihkan bibirnya. Dalam
hatinya tertanya-tanya kenapa dia harus mengikuti meeting bersama pekerja di Mid Valley. Walhal, dia hanyalah budak
praktikal. Kalau dia tak hadir pun tak apa. Inikan meeting dengan staff sahaja.
“Awak okay ke tak Ani?” Sapa Fatin, senior executive di syarikat. Wanita
yang sudah menjangkau usia lewat 40-an itu mengambil tempat duduk di sebelah
Amani.
“Okay Kak. Mana staff lain kak?” Amani cuba beramah dengan Fatin.
Jam sudah
menunjukkan jam 8 malam. Sepatutnya, meeting
sudah boleh dimulakan. Tapi, kelibat staff
lain tak jumpa pun.
“Staff lain?
Akak seorang aje lah. Ini informal
meeting. Meeting over dinner
sebab kami jemput seorang client
sekali.” Jelas Fatin lalu membetulkan tudungnya menerusi cermin kecilnya.
“Huh? Encik
Danish cakap ni staff meeting. Tapi,
kalau meeting dengan client, saya tak
diberitahu pula. Jadi, kenapa saya kena ikut sekali kak?”
“Akak pun
tak tahu. Encik Danish yang minta awak ikut kan? Dia tak ada cakap kenapa dia
suruh awak join meeting ni?” Soal
Fatin kembali.
Amani menggeleng
dengan wajah sedih.
“Anggaplah
dia nak beri awak exposure tentang
dunia bisnes. Jarang practical student
dapat peluang macam ni. Awak patut rebut dan gunakan peluang ni betul-betul.”
Fatin memberi kata-kata semangat. Tetapi, hati Amani tetap berat mengatakan
yang Danish sengaja menghukumnya kerana lewat pagi tadi.
Kalau dia
nak bagi exposure, kenapa aku seorang aje? Fariha dan orang lain kan ada lagi.
Kenapa mesti aku? Dia memang sengaja nak kenakan aku. Sudahlah di pejabat tadi,
aku kena buat kerja mengemas biliknya. Itu bukan kerja akulah. Omel Amani
didalam hati.
Dari pagi
Danish menyuruhnya membuat itu dan ini. Sehinggakan air kopinya pun Amani
terpaksa buatkan. Mak Imah, tea lady tak nak disuruh. Lagi teruk, jam sudah
hampir pukul 5:30 petang, baru Danish maklumkan meeting malam ini dan
menyuruhnya untuk turut serta. Dia sudah siap berkemas nak balik.
“Awak patut
ambil note setiap perkara yang
dibincangkan masa dinner nanti.” Arahan
Fatin itu membuatkan Amani tersedar dari khayalan.
“Okay, kak.”
Ujar Amani lalu mengeluarkan buku nota dari handbag
nya.
“Eh, Ani.
Jangan tunjuk sangat yang awak datang untuk meeting.
Kita kena buat macam ini adalah dinner,
bukan meeting. Kena selesakan client itu.” Jelas Fatin dengan senyuman
yang manis.
“Jadi, macam
mana saya nak take note?” Soal Amani
dengan dahi berkerut.
Fatin
tersenyum sambil menunjukkan jarinya ke kepala. Tanda kena ingat dalam otak,
bukan menulis. Amani terangguk-angguk faham.
“Tapi, kalau
saya terlupa sesetengah perkara macam mana kak? Matilah saya.” Resah Amani
muncul. Kalau dia terlupa sesuatu, mati dia kena maki dengan Danish nanti.
“Tak apa.
Ingat perkara penting sahaja.” Fatin cuba menenangkan Amani yang sudah kelihatan
resah. Amani tersenyum pahit sebab masalah satu lagi, macam mana nak bezakan
perkara penting dengan tak penting? Baginya semua penting. Hisy, tolonglah otak
aku berfungsi dengan elok malam ini.
Dinner berjalan dengan lancar selama 2
jam. Client itu merupakan Sheikh
Abrar dari Saudi Arabia. Beliau bercadang untuk melabur kepada syarikat Arasy
untuk projek yang baru nanti di Jalan Klang Lama. Mujur semasa di UIA, Amani
belajar bahasa Arab. Bolehlah tunjukkan sedikit kelebihannya sebagai penuntut
UIA.
Selesai
sahaja dinner, Amani terpaksa mengikut Danish untuk pulang ke pejabat kerana
dia hadir ke meeting bersama-samanya. Keretanya diletakkan di pejabat. Dalam
perjalanan menuju ke parking, sempat
pula Danish singgah di sebuah kedai. Mungkin waktu itulah Farah terjumpa
dirinya bersama Danish. Kenapalah nasib malang sangatkan.
“Esok saya
nak tengok minute meeting atas meja
saya sebelum jam 12.” Arah Danish sambil memandu. Amani yang duduk di sebelah
mengangguk.
“Dah tak ada
suara ke apa? Kenapa tak jawab?” Keras suara Danish. Amani agak terkejut lalu
memandangnya.
“Baik, Encik
Danish.” Jawab Amani sambil memandang Danish.
Patutlah
marah. Rupanya dia pandang depan saja. Mana tengok aku mengangguk tadi. Aku pun
satu, kenapa angguk sahaja. Sepatutnya jawab dengan suara. Cemuh Amani didalam
hati.
Sepanjang
perjalanan hanya sunyi menemani. Bukan ada pasang radio ke apa. Perjalanan yang
sudah mengambil masa 30 minit terasa begitu lama. Amani kekok di dalam kereta.
Kejap pandang kedepan, kejap pandang ke kiri. Kalau pandang Danish, kang kena
marah lagi. Dia itu bukan pernah elok perangai.
Sampai
sahaja di parking keretanya, Amani bergegas keluar. Sebelum menutup pintu, dia
sempat mengucapkan terima kasih dan selamat malam. Namun, ketika dia hampir
membuka keretanya, Danish membunyikan hon dengan kuat. Terkejut beruk Amani
jadinya. Kereta Danish menghampirinya.
“Ada apa
Encik Danish?” Soal Amani setelah cermin tingkap diturunkan. Danish menunjukkan
telefon bimbit di tangannya.
“My phone..” Ujar Amani lalu mengambilnya
dari Danish.
“Terima ka…”
Belum sempat Amani mengucapkannya, dipotong oleh Danish.
“Lain kali
kalau nak buang telefon tu, beritahu. Kereta saya bukan tong sampah awak.” Perli
Danish.
Amani
mengetap bibirnya. Macam nak meletup jantung Amani mendengar. Geram sangat.
Mulut tak ada insuran.
“Macam mana
awak ini. Telefon bimbit yang selalu guna pun boleh lupa. Lalai. Perangai macam
ni lah yang susah nak majukan diri nanti.” Marah Danish lagi.
Hati Amani
memang dah berapi dah saat itu. Kalau boleh nak lemparkan telefon itu tepat
pada mulut longkang itu.
“Jangan lupa
jalan balik pula nanti. Susah pula orang nak cari.” Ujar Danish lalu menaikkan
cermin tingkap lalu meluncur laju meninggalkan Amani.
Melampau
betul perangai mangkuk hayun ini. Suka-suka hati dia saja nak cakap apa yang
dia suka. Aku bukan sengaja tertinggalkan telefon aku. Dah memang lumrah
manusia ini pelupa. Aku ini bukanlah sempurna. Macamlah dia itu bagus sangat.
Nanti kau, bila kau lupa nanti, aku perli semula. Tekad Amani didalam hati.
No comments:
Post a Comment