Aku seorang penulis yang menulis semua mimpi dan ceritaku

Wednesday, 21 November 2018

Semarak Api Cinta - Bab 5


Amani mengerling jam di desktop. Sudah hampir jam 12. Hari ini, Mukhlis ingin makan bersama. Sudah hampir 2 minggu Amani tidak bertemu dengan abang sepupunya itu. Mungkin, ada perkara penting yang ingin dibincangkan.
            Mukhlis bukanlah jenis lelaki yang pandai bermanis dan berlawak. Orangnya tegas dan hanya bercakap apa yang perlu sahaja. Meskipun begitu, Mukhlis tidak pernah menggunakan kata-kata biadab walaupun dalam menegaskan sesuatu.
            Mungkin, disebabkan dialah satu-satunya anak Datuk Ramli dan Datin Rohaya membuatkan dia merasa bertanggungjawab dan serius dalam semua perkara. Datuk Ramli adalah abang kepada Datuk Johan. Hubungan kekeluargaan mereka sangat rapat. Yalah, mereka hanya ada 3 beradik sejak dari kecil. Jadi, siapa lagi yang akan menjaga adik beradik melainkan keluarga kita sendiri.
            “Ani, kau dah siapkan belum report intern?” Soal Fariha dengan perlahan sambil mendekati Amani.
            “Belum. Aku masih dalam proses lagi. Kau?” Amani membetulkan tudungnya melalui cermin kecil diatas mejanya. Tudung berwarna peach yang dibelinya minggu lepas sangat disukainya.
            “Aku tengah siapkan. Macam banyak aje benda yang kena report.” Adu Fariha lalu bersandar dimeja Amani.
            Amani menoleh kearah Fariha.
            “Kau buat report tu waktu bekerja?”Soal Amani serius. Fariha mengangguk dengan senyuman.
            “Kau tahu tak kita tak boleh campur adukkan kerja personal kita dengan kerja pejabat. Waktu pejabat, kita hanya boleh fokuskan untuk kerja pejabat sahaja. Tak eloklah macam tu, Riha.” Amani bernasihat dengan lembut.
            Kalau diikutkan protokol dan adab berkerja, tidak sepatutnya kita menggunakan masa bekerja untuk menyiapkan kerja personal. Itu tidak adil untuk majikan kerana bayaran dibayar untuk setiap saat yang kita gunakan untuk menyiapkan kerja syarikatnya.
            “Alah, aku dah tak ada kerja. Semua kerja yang Kak Fatin bagi, aku dah settle kan. Aku pun dah tanya dia ada kerja lain tak yang boleh aku buat. Tapi, dia cakap buat masa sekarang tak ada. Jadi, aku minta izin buat kerja aku ni lah. Kak Fatin bagi green light kot.” Fariha menjelaskan dengan senyuman. Gadis bertudung kuning itu tampak tenang sekali.
            “Ikut kau lah, Riha.” Amani memandang semula desktop nya.
            “Apa kerja kau tengah buat?” Fariha memandang desktop Amani.
            “Inilah kerja aku hari ni. Encik Danish suruh aku berikan dia report on petty cash. Masalahnya, dia bagi aku resit-resit untuk aku susun dan key in data. Banyak kot resit aku kena susun by date. Dia memang sengaja nak susahkan aku. Sebelum ni, ada staff yang selalu buatkan lah.” Amani mengadu dengan panjang lebar. Memang dia tak puas hati sangat.
            “Kesian kat kau kan, Ani. Tapi, salah kau juga mengata dia hari tu. Kalau aku jadi dia pun aku berdendam.” Ujar Fariha lalu ketawa. Amani mengerling tajam pada sahabatnya.
            Ya, memang salah dia. Kerana tidak puas kena kutuk sebelum ini, Amani membuat tindakan yang luar biasa. Semuanya berlaku kelmarin.
            “Baiklah, kita tamatkan meeting kita di sini.” arah Danish seraya mesyuarat bersurai. Meeting itu hanya di kalangan department finance.
            Amani ditugaskan untuk menutup semua peralatan yang digunakan di dalam bilik mesyuarat. Selesai menutup projector, dia terjumpa handphone berwarna hitam di bawah meja. Dia tahu tuan punya handphone tapi, disebabkan untuk membalas dendam, diambil handphone itu dan menuju ke mejanya.
            Amani meletakkan handphone itu diatas mejanya dengan senyuman sinis. Memang aku akan kenakan kau balik, mulut longkang. Luah Amani dalam hati.
            “Ani, phone siapa tu?” Soal Fariha yang berada di meja sebelah. Amani menoleh lalu mengangkat kedua bahunya.
            “Ani, did you found any phone in meeting room?” Danish bersuara tiba-tiba dari belakang. Amani tersenyum sinis sebelum memusingkan dudukannya dengan wajah blur.
            “Ada. Ni phone tu.” Danish mengambil handphone dari tangan Amani.
            “Tapi, siapa punya phone ni, Encik Danish?”Amani sengaja menanyakan soalan itu. Dia sudah menyediakan ayat seterusnya. Dalam kepalanya hanya ingin mengeluarkan ayat itu.
            Of course its my phone. Sebab itu saya minta dari awak.”
            Amani tersenyum sinis sebelum menghela nafas panjang. Ayat yang bakal dikeluarkan ini memang dah lama dipendam.
            “Ada orang cakap pada saya, telefon bimbit yang selalu guna pun boleh lupa. Lalai. Perangai macam ni lah yang susah nak majukan diri nanti”
            Puas hati Amani dapat luahkan ayat itu. Inilah peluang yang ditunggunya selama beberapa minggu ini. Rasakan apa yang kau dah cakap pada aku dulu. Amacam? Best tak kena ayat pedas macam tu? Kau sendiri yang ucapkan ayat tu, aku cuma ulang balik. Amani berkata didalam hati.
            Jelas kelihatan wajah tegang pada wajah Danish. Fariha pula terbeliak biji mata macam nampak hantu. Tak sangka Amani seberani ini. Tambah kecut perut bila tengok muka Danish yang dah kelat tu. Memang sengaja cari nahas perempuan ni.
            Danish memaniskan wajahnya.
            Well, that is true. Tapi, saya cari my phone semula sebab saya tak lupa. Sebab phone ni tercicir tadi. Ada orang tu, kalau tak diberi phone dia, sampai rumah baru di ingat. Itu baru pelupa namanya. Pelalai.” Danish beredar seusai menghabiskan ayatnya.
            Amani mengetap bibirnya. Dilihat susuk tubuh lelaki itu dengan tajam. Kalau ada laser keluar sekarang ini, jelas laser itu kearah Danish. Nak kenakan Danish, dia pula yang terkena. Memang mamat tu tak pernah mengalah rasanya.
            “Hei, kau gila ke apa, Ani? Boleh kau cakap macam tu kat Bos.” Fariha menolak kerusinya dekat dengan Amani.
            Amani menghembus nafas panjang. Dia tahu, dia baru saja campakkan dirinya kedalam lembah keseksaan. Dia tahu, sebelum praktikalnya tamat, pasti Danish akan menyeksanya. Aduh, menyesal pun ada sekarang.
            Bunyi telefon menyentakkan Amani dari lamunan. Dia membaca mesej yang masuk. Dari Mukhlis. Fariha mengangkat kedua keningnya tanda nak tahu. Biasalah, busy body.
            “Abang Mukh. Dia ajak aku lunch hari ni.” Fariha mengangguk faham. Dia kenal dengan Mukhlis sejak sekolah menengah lagi.
            “Eh, kau nak join lunch dengan kami tak?” Amani mempelawa. Mukhlis dan Fariha sudah rapat. Jadi, memang tak ada istilah awkward.
            “Aku puasa sunat hari ni. Lain kali lah.”
            “Wow, puasa tak ajak aku pun ya. Nak pahala seorang diri.”
            “Aku niat puasa sebelum subuh tadi. Macam mana nak ajak kau. Lagipun, sekarang ini kan aku tinggal dengan kakak aku buat sementara. Jadinya, aku ajak lah dia puasa sekali. Mana tahu dengan puasa, dia boleh berubah sikit-sikit.”
            Fariha tinggal bersama kakaknya di Ampang buat sementara kerana abang iparnya outstation selama sebulan. Kak Fatiha adalah anak kedua dari lima orang anak Datuk Jamal dan Datin Fuziah. Fariha adalah anak bongsu kepada pasangan itu.
            Kehidupan Fatiha agak bebas walaupun setelah berkahwin. Yalah, hidupnya dengan berseronok tidak akan tamat walaupun telah berkahwin. Dia tetap juga mengunjungi kelab-kelab malam walaupun hanya bersama-sama kawan perempuan. Sudah puas Fariha nasihat, tetapi hanya kata-kata kesat yang dia dapat.
            Jadi, dengan kepergian abang iparnya selama sebulan, Datin Fuziah mengarahkan Fariha untuk tinggal bersama kakaknya. Dengan Fariha ada dirumah itu, Fatiha mungkin tidak akan mengajak sesiapa untuk datang berparti. Itulah tujuan utama Datin Fuziah.
            “Yalah. Aku faham. Kau nak aku teman berbuka tak nanti?”
            “Tak payahlah. Aku berbuka dengan Kak Tiha.”
            Alright.” Amani tersenyum lalu meneruskan kerjanya semula. Fariha kembali semula ke mejanya.
            Dia menyusun semula resit-resit yang berterabur didalam kotak itu. Nasib baik sudah separuh resit-resit itu disusun. Untuk data entry perlukan sekejap sahaja kerana syarikat ini menggunakan sistem akaun yang terbaru. Dengan teknologi yang semakin berkembang maju, manusia juga semakin mudah untuk melaksanakan tugas.
            Selesai sahaja menyusun resit-resit itu, Amani meletakkan semula ke dalam kotak dengan rapi. Dia akan menyambung kerjanya selepas lunch. Jadi, semua dokumen ini haruslah di simpan di bilik penyimpanan dokumen. Dia bangun dari kerusinya dengan kotak yang besar.
            “Aduh!” Amani yang sedang bangun dengan kotak terlanggar seorang wanita yang berjalan di belakangnya. Kotak itu terlucut dari tanggannya.
            Sorry, Cik okay?” Amani memegang lengan wanita itu.
            Wanita itu tersenyum sambil memegang tangan Amani semula. Dengan tudung shawl berwarna silver, senyuman itu lebih tampak manis. Amani membalas dengan ceria.
            “Cik Jiha!” Amani gembira melihat wanita didepannya ini.
            “Apa khabar, Ani? Lama tak jumpa.” Najiha beramah mesra. Amani mengangguk dengan gembira.
            Najiha adalah anak kepada pemilik syarikat ini. Dengan kulit sawo matang dan mata yang bulat, cukup menampakkan kecantikannya. Tambahan lagi, peribadi Najiha yang mesra dan sopan membuatkan Amani sukakannya.
            “Baik, Alhamdulillah. Cik Jiha apa khabar? Memang dah lama tak jumpa. Dah dekat sebulan setengah kan?”
            “Itulah. Rindu juga pada Amani. Lagi satu, kan akak dah pesan jangan panggil Cik Jiha. Akak bukan ada position apa pun kat office ni. Jangan panggil macam tu dah ya.” Najiha mengusap belakang Amani dengan lembut.
            “Baiklah, AKAK.” Amani menekan perkataan itu lalu mereka ketawa dengan mesra.
            “Akak nak jumpa Danish kejap. Dia ada di bilik kan?” soal Najiha.
            “Ada.” Amani menjawab dengan anggukan.
            “Nanti, ada masa kita borak lagi ya. Akak ada urusan sikit dengan Danish.”
            Najiha berlalu pergi setelah Amani mengangguk. Amani melihat kelibat wanita itu sehingga hilang ke dalam bilik Danish.
            Pertama kali bertemu dengan Najiha, Amani merasa mesra dengan sifat dan layanan yang diberikan. Najiha sering singgah di pejabat dan mengajaknya lunch bersama-sama. Katanya, Amani mengingatkan dirinya tentang apa yang pernah di lakukannya semasa praktikal dahulu.
            Pada mulanya, Amani hairan dengan kehadiran Najiha yang hampir setiap masa datang ke pejabat. Namun, Najiha pernah menceritakan tentang tujuannya yang ingin membantu Danish untuk menyesuaikan dirinya di syarikat. Danish juga baru sahaja menjawat jawatan itu sebulan sebelum dia memulakan praktikal.
            Tetapi, yang menjadi kemusykilan sekarang ini, apa hubungan mereka? Setahu Amani, Najiha adalah anak tunggal pemilik syarikat ini. Nak ditanya, takut kena cop busy body. Tak ditanya, bertanya-tanya seorang diri. Bukan sebab ada hati pada Danish, tapi sebab sifat manusia yang nak jaga tepi kain saja. Manusia kan kalau boleh nak tahu semua benda.
            “Ani, kenapa berdiri tercegat kat situ?” Fariha memukul bahu kawannya.
            “Eh, lupa pulak nak bawa kotak ni ke bilik simpanan.” Amani mengangkat kotak tersebut lalu bergegas ke bilik simpanan. Laju langkahnya.

Semarak Api Cinta - Bab 4


SELAMAT pagi, Mama.” Ucap Amani lalu mencium pipi ibunya yang sedang menyediakan sarapan di meja makan.
            Puan Latifah tersenyum bahagia. Amani memang seorang anak yang solehah baginya. Alhamdulillah, hasil didikan dia dan suami, Amani membesar dengan peribadi yang elok.
            “Duduklah, Ani.”
            Amani melabuhkan punggungnya.
            “Awalnya mama masak. Tak sempat Ani nak tolong hari ini.”
            “Tak payahlah. Semalam Ani balik lewat kan. Kesian mama tengok.” Lembut suara Puan Latifah melayan anaknya.
            Nasi goreng disenduk ke dalam pinggan Amani. Dengan muka penuh berselera, Amani menikmati sarapannya.
            “Hai, Ani. Berselera papa tengok.” Tegur Datuk Johan dari belakang lalu duduk di sebelah anak kesayangannya.
            “Papa.. Good morning.” Ucap Amani dengan manja lalu meneruskan suapannya. Nasi goreng mamanya memang the best.
            Datuk Johan menikmati masakan isterinya itu. Sudah hampir 30 tahun usia perkahwinan mereka namun bibit-bibit kemesraan masih jelas kelihatan. Jarang Amani lihat mereka bertengkar kerana bertolak ansur adalah rahsianya. Masing-masing merendahkan ego dan berbincang dengan terbuka untuk menyelesaikan masalah.
            “Papa tak pergi office ke hari ni? Pakai t-shirt biasa aje Ani tengok.” Soal Amani.
            “Papa ambil cuti hari ni. Nak teman mama kat rumah.” Datuk Johan bermanis mulut.
            “Apalah sangat yang boleh kita buat kat rumah ni bang. Nanti abang bosan pula duduk rumah dengan saya.” Nada Puan Latifah seakan merajuk. Amani menghentikan suapannya. Papanya dikerling.
            “Takkan lah saya bosan dengan awak, sayang. Saya ambil cuti nak luangkan masa dengan awaklah.” Datuk Johan cuba bermanis lagi.
            Puan Latifah membuat muka toya. Selesai menuang teh untuk suaminya, dia berundur ke dapur. Amani terus mendekatkan dirinya.
            “Apa papa dah buat?” Tanya Amani dengan perlahan sambil memandang ke dapur.
            Datuk Johan tersenyum manis. Teh yang dituang tadi dihirup dengan perlahan.
            “Papa ada janji dengan mama semalam untuk keluar bersama. Tapi, papa batalkan sebab ada hal penting di office.” Terang Datuk Johan.
            “Memanglah mama marah. Papa mungkir janji.” Amani memang dah tak ada istilah berlapis-lapis. Terus terang saja apabila bercakap dengan papanya.
            “Itu yang papa cuba untuk betulkan. Mama mogok dingin dengan papa dari semalam lagi. Apa yang patut papa buat ye Ani?” Soal Datuk Johan. Hanya anak daranya seorang inilah yang boleh membantunya di saat ini.
            Amani berfikir seketika. Sudu yang berada dihujung jarinya digerakkan berkali-kali. Datuk Johan pula mengharap idea bernas dari anak daranya ini.
            “Papa ingat apa yang selalu cairkan hati mama?” Soal Amani dengan senyuman.
            “Bunga ros merah.” Jawab Datuk Johan. Amani segera mengangkat kedua-dua keningnya dengan wajah bangga. Datuk Johan menangkap maksud Amani lalu tersenyum.
            Puan Latifah menghampiri mereka dengan sepinggan buah epal. Terus Amani dan Datuk Johan meneruskan suapan mereka. Pinggan buah itu diletakkan diatas meja lalu Puan Latifah duduk di sebelah anaknya dengan wajah biasa.
            “Sedap sayang masak hari ini.” Datuk Johan cuba mencairkan hari isterinya dengan pujian. Amani mengangkat ibu jarinya dengan senyuman.
            “Habis tu, selama ni saya masak tak sedaplah?”Puan Latifah memandang Datuk Johan dengan ekor mata. Amani terus menepuk dahinya.
            “Eh, bukan macam tu. Selama ni sedap. Tapi, hari ni paling sedap.” Puan Latifah mencebik. Datuk Johan cuba untuk menyentuh tangan isterinya namun ditempis.
            “Malulah dekat Ani.” Puan Latifah bernada keras. Datuk Johan tersenyum.
            “Tak payahlah mama dengan papa nak malu. Ani dah tengok semuanya dari kecil lagi. Bukan setakat pegang tangan aje. Dah tua peganglah apa yang nak pegang.” Amani cuba menceriakan situasi. Puan Latifah mengerling kearah Amani. Dicubitnya paha anak dara bermulut laser ni. Terjerit Amani dibuatnya.
            “Siapa cakap kami dah tua? Luarannya sahaja tua, tapi dalam masih lagi muda. Ya kan sayang?” Datuk Johan mencuba lagi.
            Amani membuat mimic nak muntah. Tergelak Datuk Johan dibuatnya. Puan Latifah pula tersenyum. Amani membuat isyarat mata pada papanya. Hati mamanya sudah sejuk sedikit. Cepatlah masuk ayat manis.
            “Mama Ani lah wanita yang paling cantik yang pernah papa jumpa. Takkan ada orang lain boleh gantikan mama didalam hati papa. Sebab tu, mama sentiasa muda di hati papa.”
            Akhirnya Puan Latifah mengalah. Hilai tawa jelas kedengaran dari bibir wanita itu. Datuk Johan juga turut tertawa. Bahagia. Itulah yang Amani dapat rasakan dari kedua insan yang menyayanginya dengan sepenuh hati.
            Walaupun dia sedar, kedua insan ini mungkin tiada talian darah dengan dirinya. Namun, dia sangat menyayangi mereka. Sepanjang hidupnya, mereka adalah penjaga dan penyejuk hatinya. Tanpa mereka, siapalah Amani sekarang ini.
            Dia pernah bertanyakan asa usulnya kepada Puan Latifah. Namun, dia tidak diberikan jawapan tentang itu. Puan Latifah menangis tersedu-sedu saat dia menanyakan soalan itu. Justeru, dia berjanji untuk tidak mengulangi soalan itu selamanya. Dia masih ingat ketika dia pertama kali mendengar berita tentang ini.
            Villa Indah di Cameron Highland kepunyaan Datuk Johan riuh dengan kehadiran sanak saudara yang bercuti bersama-sama pada musim cuti sekolah. Peperiksaan UPSR sudah pun tamat. Oleh kerana itulah Datuk Johan mengajak semua ahli keluarga bercuti bersama-sama. Amani yang berusia 8 tahun ketika itu sangat gembira dengan aktiviti ini.
Semua keluarga berkumpul bersama-sama. Dia boleh berjumpa dengan abang Mukhlis, abang Fariz dan juga Farah. Dah lama rasanya mereka tak bermain bersama. Walaupun jarak usia antara dia dan abang-abang sepupunya agak jauh berbeza tapi dia tetap merasa seperti kawan. Farah pula cuma setahun tua darinya.
“Ani! Tangkap bola ini!” Laung Mukhlis lalu membaling bola kepada Amani yang terkebil-kebil di dalam air kolam.
“Abang Fariz!! Janganlah macam tu.. Ani tak pandai berenang lagilah.” Adu Amani sambil memeluk bola dengan kejap. Dia membuat riak kasihan. Mengharapkan simpati dari Fariz lah tu.
“Kalau macam tu Ani bagi bola tu kat abang dulu. Baru abang tak buat macam tu.” Ujar Fariz sambil tersenyum. Amani makin memeluk bola itu dengan kejap.
“Mana boleh! Kalau Ani bagi bola ni kat abang nanti Ani dengan abang Mukh kalah. Ani tak boleh buat macam tu.”
Mukhlis memberi isyarat supaya membaling bola itu padanya. Dia ingin menjaringkan gol. Amani mengangguk perlahan agar Fariz tidak menyedarinya. Terus sahaja bola itu dibaling dengan kuat. Mukhlis menyambutnya dengan pantas lalu dibaling tepat kedalam gol.
“Gol!!” Jerit Amani kegembiraan lalu melompat-lompat di dalam air bersama Mukhlis. Fariz membuat muka tak puas hati. Kalah dengan pasukan Amani dan Mukhlis.
“Kau orang berdua, memanglah menang. Aku seorang diri aje mana boleh.” Fariz cuba membuat alasan agar rasa malunya berkurangan.
“Siapa suruh pasukan kau tu lari masa tengah bermain. Kau jangan tak nak terima kekalahan ini pula.” Sindir Muhklis lalu ketawa bersama Amani.
“Yelah.. abang Fariz ni jangan nak buat alasan pula sebab dah kalah.” Amani pula menyindirnya. Gelakan mereka di sambung lagi. Makin panaslah hati Fariz jadinya.
“Ini semua salah Farah. Kalau dia tak pergi tandas lama macam ni, abang pasti takkan kalah punya.” Fariz membela dirinya lagi. Tak puas hati sebab kalah.
Amani dan Mukhlis naik ke kerusi. Fariz mengikut di belakang. Diambil tuala yang ada disitu lalu di dikeringkan rambut mereka yang basah.
“Tapi Farah mana? Takkan pergi tandas lambat macam ni. Dia pergi tandas ke pergi mana.” Soal Amani lalu duduk di kerusi itu. Mukhlis menolongnya mengeringkan rambut dan badan.
Fariz mengangkat kedua bahunya tanda tidak tahu. Rambutnya dikeringkan lagi.
“Abang pun tak tahu. Sakit perutlah tu. Semalam kan dia makan bukan main banyak lagi. Mentang-mentang ada spaghetti kesukaan dia, semua dia balun. Tak ingat dunia dah.” Cerita Fariz membuatkan mereka semua tertawa riang.
Farah menghampiri mereka dengan wajah yang mencuka. Semua mata memandangnya dengan serentak setelah menyedari kehadirannya disitu. Tocang dua dikepalanya membuatkan wajah bulatnya kelihatan lebih menonjol.
“Farah pergi mana tadi? Lama semacam abang tengok pergi tandas. Tengok abang dah kalah. Ini semua salah Farah. Kalau tak kita dah menang tahu tadi? Abang tak nak kalah dengan pasukan lembik tu.” Marah Fariz dalam gurauan. Amani dan Mukhlis tersenyum bangga sebab dapat kalahkan mereka.
Wajah Farah masih mencuka. Fariz mengerutkan mukanya. Dipandang Mukhlis dan Amani untuk mendapatkan jawapan kepada muka masam Farah. Mereka menggeleng serentak.
“Farah kenapa? Ada masalah ke?” tanya Fariz dengan lembut.
Farah memandang Amani dengan mata berkaca. Perasaan bersalah menyelubungi hatinya.
“Farah..Farah tak tahu nak cerita macam mana. Nak cerita takut ada yang terluka, tak cerita rasa bersalah pula. Farah tak tahu nak buat macam mana.” Ujar Farah dengan suara serak.
“Farah cerita ajelah. Jangan nak pendam pula.” Arah Fariz. Amani menghampiri Fariz dan berdiri di sebelah sepupunya itu.
“Kenapa? Ada apa yang tak kena ke Farah? Muka kau nampak pucat.” Amani pula bersuara.
Farah menarik nafas dalam-dalam. Cuba menenangkan hatinya yang berdebar.
“Sebenarnya masa Farah pergi tandas tadi..Farah.. terdengar apa yang Mak Long dengan mama cakapkan. Mereka tengah berborak pasal rahsia keluarga Pak Ngah.” Suara Farah terketar-ketar.
“Rahsia? Rahsia apa, Farah?” Tanya Fariz.
“Sebenarnya..Ani adalah anak angkat Pak Ngah dan Mak Ngah.”
Amani diam seribu bahasa. Wajahnya pucat. Hatinya berdegup kencang. Matanya sudah tidak mampu untuk membendung air hangat yang teringin untuk melimpah keluar. Mukhlis dan Fariz memandang Amani dengan perasaan kasihan. Memang ini berita yang paling tidak disangka mereka.
“Ani..abang rasa..” belum pun Mukhlis sempat menghabiskan ujarannya, Amani terus berlari dari situ dengan esakan. Mereka semua terkejut lalu mengejar Amani yang berlari entah sampai ke mana dengan lajunya. Dia terus menghilang apabila masuk ke dalam hutan dibelakang Villa.
“Farah! Pergi cakap kat Mak Ngah yang Amani hilang. Kita tak boleh lengah-lengah lagi.” Arah Fariz. Farah mengangguk lalu berlari dengan pantas mendapatkan Puan Latifah yang sedang duduk bersembang bersama-sama ibu bapanya di ruang tengah.
“Kenapa ni Farah?” tanya Datin Safiah dengan nada risau. Farah masih tercungap-cungap kepenatan.
“Ani..Ani hilang kat dalam hutan.”
“Hah? Ani hilang?” kuat suara Puan Latifah. Jantungnya hampir gugur mendengar berita itu.
Farah mengangguk laju.
            “Dia lari masuk ke dalam hutan lepas tu terus kami tak boleh nak kejar. Dia terus hilang. Abang Fariz dengan abang Mukhlis tengah cari dia lagi.” Cerita Farah.
            “Ya Allah, apa yang terjadi sampai Ani lari masuk ke dalam hutan ni?” tanya Datin Safiah yang sedang duduk disisi suaminya, Datuk Ismail di kerusi.
            “Ani..dia..” Farah takut untuk memberitahu perkara sebenarnya. Nanti pasti dia akan dimarahi sebab beritahu Amani perkara sebenarnya. Bukan niat dia untuk membuatkan Amani sampai hilang. Dia cuma tidak ingin rasa bersalah. Amani berhak mengetahuinya.
            “Nantilah kita cerita pula. Sekarang ni yang penting kita cari Amani dulu. Saya tak nak apa-apa yang buruk berlaku pada anak saya. Ya Allah…selamatkan Amani.” Doa Puan Latifah.
Datuk Johan yang baru selesai solat menghampiri mereka semua. Keadaan di situ begitu tegang.
“Abang..” Puan Latifah menghampiri suaminya dengan tangisan.
            “Kenapa ni Sayang?” risau Datuk Johan melihat wajah Puan Latifah yang tiba-tiba menangis.
            “Ani, bang. Ani dah hilang kat dalam hutan.”
            “Astagfirullahal azim. Kenapa sampai boleh jadi sampai macam ni? Kita tak boleh lengah-lengah lagi. Cepat cari dia.” Arah Datuk Johan seraya semua orang pergi ke hutan yang ditunjukkan Farah. Mereka semua menjerit-jerit memanggil nama Amani.       
Puan Latifah menjerit sambil menangis teresak-esak. Macam-macam fikiran buruk yang muncul difikirannya. Anaknya dimakan binatang buaslah, diculik oranglah, apalah. Namun, Amani tetap tidak menjawap. Hati mereka semua sudah berombak kencang setelah hampir 2 jam mencari Amani namun masih tidak bertemu.
            Mukhlis menjerit-jerit memanggil Amani sambil menghampiri sebatang pokok besar. Dia masih tidak berputus asa untuk mencari sepupunya itu. Mukhlis menyandar pada pokok besar itu setelah tekaknya terasa kering kerana menjerit terlalu kuat sejak dari tadi. Namun, dia terdengar sayup-sayup suara tangisan seseorang disebalik pokok itu. Dia perlahan-lahan berjalan ke sebalik pokok itu. Ternyata Amani sedang duduk disitu sambil menangis teresak-esak. Mukhlis menjerit memanggil Puan Latifah dengan kuat.
Semua orang berlari kearah Mukhlis dan Amani. Puan Latifah terus memeluk anak kesayangannya itu. Dikucup wajah kecil itu bertalu-talu menghilangan perasaan takut yang menghuni dari tadi. Dia menangis hiba.
            “Ani tak apa-apa kan? Kenapa Ani boleh sampai ke dalam hutan macam ni?” Soal Puan Latifah dengan penuh resah. Diteliti satu persatu anggota tubuh Amani yang masih kecil itu. Khuatir jika ada kecederaan pada anaknya ini. Datuk Johan duduk disebelah Puan Latifah dengan wajah yang risau.
            Amani masih menangis teresak-esak.
            “Ani…kenapa? Apa yang buat Amani sampai menangis sampai macam ni sekali?” Tanya Datuk Johan lembut.
“Papa..Mama.. Betul ke Ani ni bukan anak papa dengan mama?” Tanya Amani dengan air mata yang masih setia menitis.
            Puan Latifah dan Datuk Johan tersentak. Mereka memandang satu sama lain. Amani memandang ibu bapanya dengan penuh kesedihan.
            “Ani..dengar semua ni dari mana?” Soal Puan Latifah dengan nada sedih. Air matanya sudah mengalir deras.
            Farah memandang Amani dengan perasaan sedih dan bimbang. Bukan niat dia untuk membuatkan Amani terluka sebegini rupa.
            “Mama, betul ke?” Amani tidak mahu menjawab selagi tidak mendapat kepastian dari mamanya.
            Datuk Johan sudah menundukkan wajah dengan air mata yang sudah membasahi pipinya. Puan Latifah menangis dengan hibanya. Dia tidak mahu mengaku Amani bukan anaknya. Baginya, Amani adalah anaknya buat selama-lamanya.
“Mama..” Gesa Amani dengan tangisan yang semakin kuat. Puan Latifah diam dalam tangisan.
            Semua mata yang ada di situ sudah menangis tersedu-sedu. Tidak sangka rahsia ini sudah terbongkar.
            Puan Latifah mengangguk dengan perlahan. Amani pula semakin deras air matanya mengalir. Puan Latifah memeluk Amani dengan erat sambil menangis teresak-esak.
            “Ani akan jadi anak mama selamanya, sayang. Ani jangan cakap yang Ani bukan anak kandung mama lagi. Ani adalah anak kami selamanya. Takkan ada apa pun yang merubah hakikat itu.” Sumpah Puan Latifah. Datuk Johan memeluk kedua-dua insan yang dicintainya itu dengan linangan air mata.
“Papa tak nak dengar lagi Ani sebut pasal ni. Kuburkan segala apa yang Ani dengar hari ini. Untuk papa dan mama, Ani tak boleh ungkit lagi perkara ni. Sesiapa pun jangan ungkit perkara ni sampai bila-bila. Ani anak papa dan mama. Takkan ada orang yang boleh gantikan tempat Ani.” Pujuk Datuk Johan. Pelukan mereka dileraikan. Puan Latifah menyeka air mata Amani dengan penuh kasih sayang.
            “Ingat Ani, jangan pernah ungkit lagi perkara ni. Mama dan papa tak nak dengar lagi hal ini dibangkitkan. Ia sangat menyakitkan kita. Janji dengan mama ye, sayang? Janji?” Puan Latifah menatap Amani dengan mata yang berkaca-kaca.
            Amani melihat kedalam mata mama dan papanya. Dia sangat menyayangi kedua-dua insan yang sudah lama menjadi ibu bapanya ini. Dia mengangguk. Puan Latifah terus memeluk tubuh kecil itu. Air matanya mengalir lagi.
            “Ani!!” Suara Puan Latifah menyentakkan Amani dari lamunan.
            “Mengelamun pula budak ni. Dah pukul berapa dah tu. Nanti lewat ke office.” Amani terus melihat jam tangannya. Ya Allah, dah lewat.
            “Ani pergi dulu.” Ujar Amani sambil kelam kabut mengambil beg galasnya lalu menyalam kedua ibu bapanya itu. Senyuman manis dihadiahkan kepada mereka. Sebelum melangkah keluar dari pintu, dia menoleh kearah ibu bapanya.
            I love you both so much. Ucap Amani didalam hati.

Semarak Api Cinta - Bab 3


AMANI dah menjuihkan bibirnya. Dalam hatinya tertanya-tanya kenapa dia harus mengikuti meeting bersama pekerja di Mid Valley. Walhal, dia hanyalah budak praktikal. Kalau dia tak hadir pun tak apa. Inikan meeting dengan staff sahaja.
            “Awak okay ke tak Ani?” Sapa Fatin, senior executive di syarikat. Wanita yang sudah menjangkau usia lewat 40-an itu mengambil tempat duduk di sebelah Amani.
            Okay Kak. Mana staff lain kak?” Amani cuba beramah dengan Fatin.
            Jam sudah menunjukkan jam 8 malam. Sepatutnya, meeting sudah boleh dimulakan. Tapi, kelibat staff lain tak jumpa pun.
            “Staff lain? Akak seorang aje lah. Ini informal meeting. Meeting over dinner sebab kami jemput seorang client sekali.” Jelas Fatin lalu membetulkan tudungnya menerusi cermin kecilnya.
            “Huh? Encik Danish cakap ni staff meeting. Tapi, kalau meeting dengan client, saya tak diberitahu pula. Jadi, kenapa saya kena ikut sekali kak?”
            “Akak pun tak tahu. Encik Danish yang minta awak ikut kan? Dia tak ada cakap kenapa dia suruh awak join meeting ni?” Soal Fatin kembali.
            Amani menggeleng dengan wajah sedih.
            “Anggaplah dia nak beri awak exposure tentang dunia bisnes. Jarang practical student dapat peluang macam ni. Awak patut rebut dan gunakan peluang ni betul-betul.” Fatin memberi kata-kata semangat. Tetapi, hati Amani tetap berat mengatakan yang Danish sengaja menghukumnya kerana lewat pagi tadi.
            Kalau dia nak bagi exposure, kenapa aku seorang aje? Fariha dan orang lain kan ada lagi. Kenapa mesti aku? Dia memang sengaja nak kenakan aku. Sudahlah di pejabat tadi, aku kena buat kerja mengemas biliknya. Itu bukan kerja akulah. Omel Amani didalam hati.
            Dari pagi Danish menyuruhnya membuat itu dan ini. Sehinggakan air kopinya pun Amani terpaksa buatkan. Mak Imah, tea lady tak nak disuruh. Lagi teruk, jam sudah hampir pukul 5:30 petang, baru Danish maklumkan meeting malam ini dan menyuruhnya untuk turut serta. Dia sudah siap berkemas nak balik.
            “Awak patut ambil note setiap perkara yang dibincangkan masa dinner nanti.” Arahan Fatin itu membuatkan Amani tersedar dari khayalan.
            “Okay, kak.” Ujar Amani lalu mengeluarkan buku nota dari handbag nya.
            “Eh, Ani. Jangan tunjuk sangat yang awak datang untuk meeting. Kita kena buat macam ini adalah dinner, bukan meeting. Kena selesakan client itu.” Jelas Fatin dengan senyuman yang manis.
            “Jadi, macam mana saya nak take note?” Soal Amani dengan dahi berkerut.
            Fatin tersenyum sambil menunjukkan jarinya ke kepala. Tanda kena ingat dalam otak, bukan menulis. Amani terangguk-angguk faham.
            “Tapi, kalau saya terlupa sesetengah perkara macam mana kak? Matilah saya.” Resah Amani muncul. Kalau dia terlupa sesuatu, mati dia kena maki dengan Danish nanti.
            “Tak apa. Ingat perkara penting sahaja.” Fatin cuba menenangkan Amani yang sudah kelihatan resah. Amani tersenyum pahit sebab masalah satu lagi, macam mana nak bezakan perkara penting dengan tak penting? Baginya semua penting. Hisy, tolonglah otak aku berfungsi dengan elok malam ini.
            Dinner berjalan dengan lancar selama 2 jam. Client itu merupakan Sheikh Abrar dari Saudi Arabia. Beliau bercadang untuk melabur kepada syarikat Arasy untuk projek yang baru nanti di Jalan Klang Lama. Mujur semasa di UIA, Amani belajar bahasa Arab. Bolehlah tunjukkan sedikit kelebihannya sebagai penuntut UIA.
            Selesai sahaja dinner, Amani terpaksa mengikut Danish untuk pulang ke pejabat kerana dia hadir ke meeting bersama-samanya. Keretanya diletakkan di pejabat. Dalam perjalanan menuju ke parking, sempat pula Danish singgah di sebuah kedai. Mungkin waktu itulah Farah terjumpa dirinya bersama Danish. Kenapalah nasib malang sangatkan.
            “Esok saya nak tengok minute meeting atas meja saya sebelum jam 12.” Arah Danish sambil memandu. Amani yang duduk di sebelah mengangguk.
            “Dah tak ada suara ke apa? Kenapa tak jawab?” Keras suara Danish. Amani agak terkejut lalu memandangnya.
            “Baik, Encik Danish.” Jawab Amani sambil memandang Danish.
            Patutlah marah. Rupanya dia pandang depan saja. Mana tengok aku mengangguk tadi. Aku pun satu, kenapa angguk sahaja. Sepatutnya jawab dengan suara. Cemuh Amani didalam hati.
            Sepanjang perjalanan hanya sunyi menemani. Bukan ada pasang radio ke apa. Perjalanan yang sudah mengambil masa 30 minit terasa begitu lama. Amani kekok di dalam kereta. Kejap pandang kedepan, kejap pandang ke kiri. Kalau pandang Danish, kang kena marah lagi. Dia itu bukan pernah elok perangai.
            Sampai sahaja di parking keretanya, Amani bergegas keluar. Sebelum menutup pintu, dia sempat mengucapkan terima kasih dan selamat malam. Namun, ketika dia hampir membuka keretanya, Danish membunyikan hon dengan kuat. Terkejut beruk Amani jadinya. Kereta Danish menghampirinya.
            “Ada apa Encik Danish?” Soal Amani setelah cermin tingkap diturunkan. Danish menunjukkan telefon bimbit di tangannya.
            My phone..” Ujar Amani lalu mengambilnya dari Danish.
            “Terima ka…” Belum sempat Amani mengucapkannya, dipotong oleh Danish.
            “Lain kali kalau nak buang telefon tu, beritahu. Kereta saya bukan tong sampah awak.” Perli Danish.
            Amani mengetap bibirnya. Macam nak meletup jantung Amani mendengar. Geram sangat. Mulut tak ada insuran.
            “Macam mana awak ini. Telefon bimbit yang selalu guna pun boleh lupa. Lalai. Perangai macam ni lah yang susah nak majukan diri nanti.” Marah Danish lagi.
            Hati Amani memang dah berapi dah saat itu. Kalau boleh nak lemparkan telefon itu tepat pada mulut longkang itu.
            “Jangan lupa jalan balik pula nanti. Susah pula orang nak cari.” Ujar Danish lalu menaikkan cermin tingkap lalu meluncur laju meninggalkan Amani.
            Melampau betul perangai mangkuk hayun ini. Suka-suka hati dia saja nak cakap apa yang dia suka. Aku bukan sengaja tertinggalkan telefon aku. Dah memang lumrah manusia ini pelupa. Aku ini bukanlah sempurna. Macamlah dia itu bagus sangat. Nanti kau, bila kau lupa nanti, aku perli semula. Tekad Amani didalam hati.

Semarak Api Cinta - Bab 2


“TUNGGU!!” Amani menjerit sambil berlari mendekati lif. Pintu lif yang sedang tertutup ditahan dengan tangannya. Penumpang lif agak terkejut dengan aksi Amani. Ada yang tergelak di belakang. Pintu lif terbuka semula dan Amani masuk dengan muka merona merah.
            Bukan kerana penumpang yang sedang terkekek mengetawakannya tetapi sebab orang yang berada dibelakangnya, Adam Danish. Kenapalah boleh terjumpa di dalam lif ini. Amani menundukkan wajahnya.
            Lif berhenti di tingkat 16. Amani meluru keluar dengan laju macam kena kejar dengan singa. Memang baginya, Adam Danish itu singa.
            “Amani.” Seru Danish dengan nada keras. Amani berhenti di pintu masuk pejabat. Saat itu, hatinya berdebar bagai nak tercabut dari jantung. Mampus aku…
            “Ya, Encik Danish?” Jawab Amani dengan perlahan sambil menoleh kepada Danish.
            Danish menghampirinya dengan wajah yang kelat.
            “Awak tahu dah pukul berapa sekarang?” Soal Danish dengan nada keras.
            “Ta..tahu.” Jawab Amani terketar-ketar. Peluh-peluh kecil menghiasi dahinya.
            You are late!” Danish memandangnya dengan mata yang tajam. Amani dah tertunduk macam orang sakit belakang. Kalau boleh, sikit lagi dah sama macam ruku’ dalam solat.
            I’m sorry, Encik Danish. Tapi, tadi ada emergency. Itu yang saya lambat.” Amani membela dirinya tapi dengan nada yang perlahan.
            I don’t like this kind of behaviour. Apa pun alasan awak, you should always be prepared. Jangan jadi orang yang tahu bagi alasan aje. Elakkan dari benda-benda macam ini.”
            Amani mengangguk. Wajahnya masih tertunduk.
            “Sudah. Masuk pejabat sekarang.” Arah Danish lalu membuka pintu dan masuk dahulu. Amani mengangkat mukanya dengan wajah mencuka. Yalah, baru kena marah. Mana taknya muka macam itu.
            Amani meletakkan begnya di bawah meja kerjanya. Fariha, seorang lagi practical student yang duduk di meja sebelah menghampirinya.
            Wey, kenapa kau lambat? Dah 10:30 pagi dah ni.” Soalnya.
            Amani menghela nafas panjang sebelum membuka komputer. Lalu dipandangnya Fariha dengan wajah sedih.
            “Tadi, masa aku on the way, ada seorang mak cik kena langgar dengan motorsikal masa dia nak melintas jalan. Waktu itu, jalan memang tengah jem. So, aku turunlah dari kereta tolong mak cik tu yang tengah terbaring di sebelah kereta aku.
Lamalah juga nak tunggu ambulan datang. Itu yang aku lambat masuk kerja hari ini. Bukan aku sengaja, Riha. Selama kita praktikal kat sini, pernah kau tengok aku lambat tak? Aku selalu jaga disiplin tahu.” Amani menjelaskan kejadian pagi itu kepada Fariha.  Tangannya menaip password komputer dengan laju.
“Tapi, kau nak tahu apa yang paling aku buat aku sedih tadi?” Soal Amani lalu mendekatkan dirinya dengan Fariha. Dengan riak ingin tahu, Fariha menolak kerusinya juga.
“Aku terserempak dengan Encik Danish di dalam lif.”
Fariha membuntangkan matanya. Mulutnya agak terlopong. Yalah, Danish memang terkenal dengan sikap tegas dan mematuhi waktu. Perkara paling dipantang bos besar itu adalah waktu berkerja.
“Dia marah aku di luar tadi. Manalah aku tahu dia masuk office jam begini. Bukan selalu dia masuk dalam pukul 12 ke? Malangnya nasib aku hari ini. Kau tahu sajalah Encik Danish tu. Bukan nak cakap elok-elok.” Omel Amani dengan nada sedih.
“Nak buat macam mana, Ani. Dah kita ni intern. Nak tak nak, kena hadam sajalah apa yang dia cakap. Tak apa, tinggal sebulan aje lagi. Lepas ini, kita dah free dari pejabat ni.” Pujuk Fariha, selaku kawan baiknya dari kecil sampai besar.
“Itulah Riha. Menyesal pun ada sekarang ni buat internship kat sini.” Amani memandang sayu sahabatnya itu.
“Kau yang nak sangat kita praktikal sini. Syarikat ayah kau yang punyalah besar kau tak nak. Syarikat orang lain juga yang kau pilih.” Perli Fariha.
Amani tahu, dia boleh selesaikan latihan praktikalnya di syarikat milik papanya, HQ Holdings. Tetapi, kerana ingin menimba pengalaman dari syarikat yang tidak ada kena mengena langsung dengan dirinya, dia memilih jalan ini. Dia mahu pekerja melayannya sebagai budak praktikal, bukan anak kepada pemilik syarikat.
“Eleh, cakap kat orang. Kau tu pun sama. Bapak kau bukan ada company besar ke kat Malaysia ni? Siap ada branch lagi di setiap daerah. Kenapa kau tak nak buat latihan kat situ?” Balas Amani kembali.
Fariha juga berasal dari keluarga yang kaya. Tetapi, dia melihat sahabatnya ini dengan mata hati. Tidak pernah sedikit pun Fariha menunjukkan dirinya kaya. Keluarganya mempunyai nilai aset berbilion tetapi, Fariha masih menganggap dirinya tiada apa-apa. Mungkin, kerana sikap mereka hampir sama, Amani mudah berkawan dengannya.
“Sebab aku nak teman kau lah. Kau kan sahabat aku dunia akhirat.” Ujar Fariha membuahkan senyuman di bibir Amani.
Iya, Fariha dan Amani sudah berkawan sejak tadika lagi. Mereka berjiran dan bersekolah dari kecil sehinggalah ke alam univerisiti. Mereka juga mengambil jurusan kewangan islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Dialah satu-satunya kawan yang boleh memahami dan menghargai dia seadanya.
Thanks, sayangku. Kau pun sahabat aku dunia akhirat.” Balas Amani dengan senyuman lebar lalu memeluk lengan Fariha dengan manja. Mereka ketawa kecil bersama.
“Ehem, Ehem.” Bunyi itu membuatkan Amani dan Fariha terkejut. Terus badan mereka berpusing.
“Encik Danish..” Amani bernada perlahan sambil memandang wajah Fariha. Danish dengan wajah ketatnya memandang mereka satu persatu.
“Dah tak ada kerja ke borak-borak macam ni?” Soal Danish.
Amani dan Fariha tersengih macam kerang busuk sambil memandang wajah masing-masing. Bukan tak biasa kena soalan macam ini. Dah lumrah praktikal. Memanglah kena hadam apa yang orang maki.
Sudah 2 bulan dia melakukan prakital di syarikat Arasy Berhad, sebuah syarikat yang agak besar di Malaysia. Fariha yang memperkenalkan syarikat ini kepadanya. Mereka memohon bersama-sama dan diterima serentak untuk menjalankan praktikal.
Tapi, sejak dari hari pertama, dia memang tak sukakan sikap Danish. Baginya, Danish seorang yang baran, tidak memahami situasi orang lain dan suka bercakap kasar. Dia memang tak boleh pandang wajah Danish. Mendadak naik darahnya. Tapi, hakikatnya, Danish adalah bosnya. Nak tak nak, kena hadap juga.

Semarak Api Cinta - Bab 1


AMANI menatap ke luar jendela biliknya. Hujan semakin lebat dan tidak kelihatan akan berhenti. Keadaan diluar gelap walaupun jam baru sahaja menunjukkan 5 petang. Hatinya terasa seperti di remuk-remuk saat ini.
            Bukan dia tak tahu perangai sepupunya, Farah. Selalu sahaja cari pasal dengannya. Dari kecil sampai ke besar, Farah tak pernah layan dia dengan baik. Tapi, perkara yang dibangkitkan Farah sebentar tadi benar-benar menyakitkan hatinya.
            “Kau tak payah nak tunjuk pandai dengan aku. Setakat buat teh, aku pun pandai.” Sindir Farah sebaik sahaja melangkah masuk ke dapur.
            Amani disuruh ibunya untuk menyediakan teh bagi tetamu mereka yang tak asing lagi, Datin Safiah, adik ipar ibunya. Farah pun turut menziarah bersama. Memang dalam sebulan, paling kurang 2 kali mereka akan datang untuk melawat.
            “Apa masalah kau ni, Farah? Aku buat air aje, bukan ajar kau buat air pun.” Balas Amani dengan tenang. Tangannya ralit menyusun cawan kedalam dulang.
            “Sebab kau nak tunjuk pandai, tu yang aku kena ikut kau masuk dapur ni. Kau memang sengaja buat-buat rajin depan mak aku kan.” Tuduh Farah lagi.
            “Apa pasal pula aku buat-buat rajin depan mak su ni. Dah mama aku suruh aku buat air, kenalah aku buat.”
            “Alah, kau sengaja buat rajin depan kami. Mak aku tu, kalau tengok kau buat sesuatu, mesti dia nak aku buat sekali. But, so sorry okay. Aku tak layan benda remeh macam ni. Aku boleh upah orang gaji untuk buat kerja ni. Ops, kau ni memang dah muka macam orang gaji kan, memang padanlah dengan kau.” Sindir Farah lagi dengan ketawa mengejek.
            Amani beriak biasa. Malas nak melayan karenah sepupunya. Bukan pertama kali Farah menyindirnya begini. Dia sudah lali.
            “Kau datang sini nak tolong aku ke nak kacau aku? Kalau kau tak nak tolong, pergi duduk kat depan tu semula.” Arah Amani.
            “Buat apa aku nak tolong kau. Rumah ni ada orang gaji, tapi kau tetap juga nak buat benda ni sebab nak tunjuk rajin. Ha, buatlah sendiri.”
            “Kalau macam tu, sila berambus.” Kasar Amani menghalau.
            “Hey, aku pun tak ingin nak masuk dapur ni. Kalau tak sebab mak aku suruh, aku tak ingin masuk dapur tengok muka kau.” Ujar Farah dengan nada agak tinggi.
            “Suka hati kau lah Farah. Aku tak paksa kau. Lagipun, aku suka buat kerja macam ni. Bukan ke nanti bila dah kahwin, kita sebagai isteri kena pandai jaga hati suami dengan benda-benda macam ni.” Ujar Amani dengan tenang sambil membancuh teko.
            “Kau tak payah nak tunjuk baik sangat dengan aku. Nak jaga hati suami bagai. Sepatutnya, kau yang tak kahwin lagi ni, kena jaga air muka mak ayah kau. Jangan sampai menconteng arang ke muka mereka.”
            Amani mengerutkan dahinya.
            “Aku pandai jaga diri aku lah Farah. Thanks for your concern. Tapi, aku masih lagi waras untuk jaga maruah aku dan keluarga kita.”
            Farah mencebik dengan muka bosan.
            “Kau tak payah nak tipu aku. Aku tahu apa kau buat kat luar dengan jantan. Aku nampak sendiri dengan mata aku. Kau keluar berdua-duan dengan lelaki minggu lepas.”
            Amani menghentikan tangannya. Dia pantas memandang Farah dengan hairan.
            “Apa kau cakap ni Farah? Lelaki mana kau cakap ni?” Soal Amani dengan bercengkak pinggang.
            “Tak payah buat-buat tak faham lah. Aku nampak kau dengan seorang lelaki di Mid Valley rabu lepas. Apa yang kau dengan jantan tu buat?”
            Amani terdiam sebentar. Dia cuba mengingat. Dengan siapa aku keluar berdua-duan? Seingat dia, Rabu lepas, dia keluar ke Mid Valley bersama supervisor dan pekerja yang lain. Itupun sebab dipaksa oleh supervisor untuk ikut sekali meeting di Mid Valley. Tak ada pula berdua-duaan.
            “Kau tak payah nak buat muka blur tu. Aku cuma nak ingatkan kau, tak payah nak bergatal sangat di luar. Jaga maruah keluarga kalau kau tu dah tak pandai nak jaga maruah sendiri.
Ini tidak, keluar dengan jantan sana sini. Itu yang aku nampak depan mata. Kalau
dibelakang, entah apa yang kau dah buat kan. Entah-entah kau ni dah tak suci.”
            “Farah!! Kau jangan melampau. Jangan pandai nak fitnah aku sampai macam tu sekali.” Marah Amani. Menderau darahnya dengan tuduhan Farah.
            “Hey, aku tak tuduh ya. Aku cuma ingatkan kau. Kalau diri itu dah tak suci, tak payah nak tunjuk baik. Bawa jantan ke hulur ke hilir. Tak malu ke?”
Pang!!!
            Satu penampar hinggap ke muka Farah. Berderau darah Amani. Terjegil biji mata Amani macam nak telan Farah hidup-hidup.
            “Kau jangan main fitnah aku macam itu. Aku tak ingat pun aku pernah keluar dengan mana-mana lelaki. Aku masih waras Farah. Aku pandai jaga diri aku lagi. Kau itu yang sepatutnya risaukan diri kau.
Aku sayangkan keluarga aku. Aku takkan sekali-kali calarkan nama baik keluarga aku. Kau tak patut cakap benda macam ni. Kita semua satu keluarga.” Tinggi suara Amani membela diri.
Farah memegang pipinya yang panas kerana ditampar tadi. Matanya bulat memandang Amani. Memang nak mati perempuan ni.
“Keluarga? Kau pasti ke pasal tu?” Soal Farah dengan sinis sambil menurunkan tangannya dari pipi. Perlahan-lahan dia mendekati Amani.
“Kau dah lupa ke kau tu siapa? Kau tu hanyalah anak angkat. ANAK ANGKAT!!” Farah sengaja menekan suaranya.
Amani terdiam.
“Kau tak payah buat muka terkejut. Kau memang dah tahu perkara ni dari dulu lagi. Aku cuma nak ingatkan siapa diri kau sebenarnya.” Ujar Farah dengan bengis lalu keluar dari dapur.
Amani menutup matanya dengan perlahan. Air mata berjuraian dengan lebat, selebat hujan di luar. Kebenaran yang selama ini cuba dilenyapkan diingatkan semula. Iya, Amani adalah anak angkat kepada Puan Latifah dan Datuk Johan.
Dia mengetahui kebenaran ini ketika umurnya mencecah 8 tahun. Ketika itu, ahli keluarganya berjanji untuk tidak mengungkit lagi perkara ini. Kuburkan semua ini. Anggap semuanya seperti ahli keluarga sendiri.
Memang ibu bapanya berjanji untuk tidak mengungkit lagi perkara ini. Tetapi, kebenaran tidak akan pernah dapat dilupuskan walau berapa kali cuba untuk dilupakan. Amani sedar, ibu bapanya tidak pernah menyebut perkara ini semenjak itu.
Ini semua salah Adam Danish Bin Abdullah!! Kalau tak di sebabkan dia, Farah tak akan mencerca dia sebegini rupa. Menyesal pun ada keluar bersama dia minggu lepas. Kalau tak disebabkan dia itu supervisor practical training, memang tak ingin Amani keluar bersama. Adam Danish, mengelegak panas Amani apabila teringat nama itu.